PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra di sini, hari ini.

Mesyuarat yang bermula pada jam 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 13 menteri yang mengangkat sumpah pada Isnin lepas.

Sebelum mesyuarat kabinet itu bermula, Dr Mahathir menyertai sesi bergambar bersama jemaah menteri.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Ini merupakan mesyuarat kabinet pertama setelah Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, lepas.

Dr Mahathir, 92, kembali menerajui negara selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia berikutan kemenangan PH itu, sekali gus menjadi perdana menteri tertua di dunia.

Beliau sebelum ini merupakan perdana menteri Malaysia keempat dan menerajui tampuk pemerintahan  negara dari 1981 sehingga 2003. - Bernama