KUALA LUMPUR – Pengasas dan pengerusi Kumpulan Alibaba, Jack Ma memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk pembukaan pejabat operasinya di luar China.

Langkah menempatkan pejabat tersebut di The Vertical Bangsar South, Kuala Lumpur menandakan usaha berterusan Alibaba Group untuk meningkatkan kapasiti teknologi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dan usahawan muda.

Jack Ma mendedahkan motifnya memilih Malaysia untuk mengembangkan hub Platform Perdagangan Dunia Elektronik (EWTP) kerana projek Multimedia Super Corridor (MSC) yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1996 telah menginspirasikan beliau membuka perdagangan digital, Alibaba.

“MSC yang diperkenalkan Malaysia pada 1996 telah membuka mata saya mengenai teknologi digital yang mampu memberi kuasa kepada manusia. Saya dengar MSC, wow! jika Malaysia boleh berubah kenapa China juga tidak lakukan perubahan sama?

“Ya saya akui, Malaysia dan MSC telah menyuntik inspirasi kepada saya untuk membuka Alibaba,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan pejabat Kumpulan Alibaba di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jack Ma kagum dengan pengetahuan teknologi Mahathir]

Usahawan terkaya dunia itu juga turut berkongsi pengalamannya bertemu Dr Mahathir pagi tadi.

“Saya sangat mengagumi Dr Mahathir, meskipun berusia 93 tahun namun beliau sangat arif dan hebat dalam bidang teknologi.

“Kami berkongsi banyak persamaan, kami percayakan kuasa internet, orang muda dan memperkasakan orang kampung untuk menggunakan internet untuk memajukan kehidupan pada masa depan,” ujarnya.

Jack Ma berkata, Alibaba berhasrat memulakan EWTP bersama Malaysia untuk mendigitalkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dan usahawan muda.

“Dijangkakan menerusi pembukaan pejabat operasi Alibaba ini lebih 10,000 peluang pekerjaan dapat dicipta di Malaysia.

“Pembukaan pejabat Alibaba ini akan menjadikan pusat latihan untuk rakyat negara ini mengembangkan perniagaan menerusi medium digital,” katanya.

Pembukaan pejabat operasi Kumpulan Alibaba di Kuala Lumpur ini dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam ucapannya mengalu-alukan pembukaan hub EWTP ini bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Duta China ke Malaysia, Bai Tian.