ALOR SETAR - Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetap relevan kepada orang yang tidak tahu menjaga diri dan tidak menghargai peluang yang harus digunakan sebagai seorang mahasiswa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah melarang sekiranya mahasiswa ingin mengadakan sebarang debat dalam kawasan universiti tetapi yang hendak dikawal adalah perbuatan mereka berkempen secara melampau.

"Yang kita larang adalah tindakan nak pergi kempen di sana sini. Orang  bayar duit kepada kita. Kita belajar menggunakan orang lain, jadi kena bertanggungjawab dengan orang yang bekalkan kita dengan wang supaya belajar  betul-betul.

"Kemasukan (ke universiti) kebanyakan pelajar Melayu bukan kerana pencapaian tinggi, (dan) kalau tak kerja kuat mereka akan ke belakang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi Bicara Tokoh bersama beliau sempena Tahun Koperasi Antarabangsa 2012 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata mahasiswa seharusnya menumpukan perhatian sepenuhnya  terhadap pelajaran, dan selepas tamat pengajian dan mempunyai pekerjaan serta pendapatan sendiri, barulah mereka bebas melakukan apa saja.

"Kita fikir (jika) tak demonstrate (berdemonstrasi) tak boleh jadi ahli politik yang baik. Saya dulu takdak demonstration pun tapi boleh jadi ahli politik yang ada kebijaksanaan juga," katanya.

Beliau berkata lebih menyedihkan ialah yang sering terlibat dengan demonstrasi membantah Auku adalah mahasiswa Melayu, manakala kaum lain tidak melakukan perkara itu.

"Saya bukan rasis tapi budak Melayu ini kelulusan tak tinggi, orang  inilah yang nak sangat hapuskan AUKU. AUKU tidak relevan kalau kita tahu menjaga diri," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) berhasrat mengumpul dana sehingga RM15,000 dengan menjual 700 patung beruang di Kedah bagi menyumbang kepada tabung SINAR4ROHINGYA.
  • ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus meningkatkan kedudukannya apabila tersenarai dalam kalangan satu peratus (1%) universiti terbaik di rantau Asia daripada 11,900 universiti yang ada.
  • ALOR SETAR - Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yakin, Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini, mengandungi beberapa tambahan perkara baik untuk rakyat.
  • ALOR SETAR - Setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri dalam memimpin negara ini berdasarkan kesesuaian semasa, justeru tidak boleh dibandingkan antara satu sama lain, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.
  • ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan pemergian Exco Wanita Umno, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Jerlun, Datuk Dr Maznah Hamid sebagai kehilangan besar buat negara, khususnya Kedah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.