SHAH ALAM - Mahasiswa Felda menuntut kerajaan mengkaji semula Belanjawan 2019 terutamanya melibatkan pembayaran semula hutang pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presiden Majlis Perundingan Permuafakatan Siswa Siswi Felda Kebangsaan, Mohamad Nazren Nasha Abu Samah berkata, pembayaran semula PTPTN yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan sebagai tidak wajar terhadap semua peminjam.

Katanya, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah menanganinya secara berhemah dan mendengar penjelasan atau perkongsian pendapat daripada mahasiswa.

“Kerajaan seharusnya membuka ruang diskusi kepada mahasiswa khususnya untuk memberikan pandangan serta rundingan bagi mencari solusi terbaik dalam soal bayaran semula pinjaman ini.

“Ia bersesuaian dengan dasar mereformasikan institusi dalam era Malaysia baharu ini, suara dari semua pihak perlulah didengari sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2019: Potongan gaji galak bayaran balik PTPTN ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Semua kena bayar hutang PTPTN: Najib ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang belum tentu dapat pengecualian bayaran balik PTPTN ]

Beliau berkata, bukan sekadar PTPTN yang harus dinilai semula malah bantuan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) berjumlah RM250 yang diberikan kerajaan dahulu tidak diberikan kepada mahasiswa tahun hadapan.

Katanya, tindakan itu nyata menunjukkan kerajaan tidak peka soal kebajikan mahasiswa yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Kerajaan tidak seharusnya menghentikan pemberian bantuan melalui kad siswa tersebut, sebalikya menambah baik keistimewaan yang boleh diperolehi melalui kad itu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata, meskipun hutang negara berada pada tahap yang membimbangkan seperti diuar-uarkan, kerajaan perlu mencari jalan kreatif dalam memperkasakan kebajikan mahasiswa.

“Dalam menganalisa pola pengundi pada PRU lalu, golongan millenial merupakan antara penyumbang kepada kemenangan PH hari ini. Golongan millenial ini juga termasuklah para mahasiswa yang menjadi peminjam PTPTN,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawaan 2019 lalu, kerajaan mengumumkan pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.