PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kerana telah menggunakan perkataan ‘keling’ merujuk kepada komuniti India.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan perkataan itu tidak berniat untuk menghina sesiapa pun.

“Saya nak mintak maaf kepada komuniti India kerana saya guna perkataan ‘keling’, saya tak berniat menghina sesiapa pun.

“Kerana semasa saya kecil, kami menggunakan perkataan itu tetapi sekarang ia dianggap sebagai menghina. Jadi saya meminta maaf jika menyebabkan masalah kepada mereka,” katanya pada sidang media mesyuarat majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat Bersatu, hari ini.

Sebelum ini, Mahathir menggunakan terma keling pada satu majlis kutipan dana di Muar, Johor pada 7 April.

Bekas perdana menteri itu kemudian mempertahankan penggunaan perkataan itu dengan mengatakan ia bukan untuk menghina mana-mana pihak.

Bagaimanapun, kenyataan Mahathir itu ditegur Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan mahu beliau berhenti menggunakan perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India.

Sementara itu, Mahathir turut menafikan bahawa beliau menggambarkan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai pemalas.

“Itu Utusan yang kata, bukan saya,” katanya menjawab kritikan daripada beberapa pemimpin dari dua negeri itu berhubung komen di satu forum awal bulan ini.

Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu menegaskan bahawa tidak masuk akal jika beliau bercakap seperti itu apabila mahu meraih sokongan mereka.

“Apa yang saya kata ialah pemimpin khususnya di Sabah amat tamak. Itu menyebabkan mereka mencuri duit daripada kerajaan,” jelas beliau.