KUALA LUMPUR - Seramai 200 warga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Ibu Pejabat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengikuti sesi berinteraksi dengan al-Quran baca, faham dan amal sebagai menyahut kempen My Family #QuranHour dengan tema '9 Pesan Luqman'.

Dalam majlis sama LPPKN #Quranhour dijadikan pembuka acara Majlis Perhimpunan Awal Tahun 2018 bagi LPPKN di Bangunan LPPKN, di sini.  

Penasihat Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail berkata, selain al-Quran perlu menjadi agenda dalam keluarga, umat Islam perlu sentiasa bersyukur, berkomunikasi baik untuk menasihati khususnya mengenai akidah dan elakkan syirik yang menjadi punca tekanan dalam keluarga dan masyarakat.

Dari kiri Mohd Fikri dan Fazrul ketika mengendalikan sesi tadabbur dan tazakkurSurah Luqman.

Warga LPPKN dalam program itu diperdengarkan bacaan al-Quran daripada petikan Surah Luqman oleh Pegawai Penerangan LPPKN, Mohd Fikri Yazan sebelum diikuti sesi bertadabbur dan bertazakkur ayat 12 dan 13 olehnya.

Fazrul berkata, kedua-dua ayat tersebut memfokuskan mesej bersyukur dan jangan mensyirikkan ALLAH.

"Dalam membina keluarga yang penuh cabaran, jadikan al-Quran sebagai panduan. Jawapan dan jalan penyelesaian datang daripada ALLAH. Berdasarkan Surah Luqman, bapa yang berhikmah mampu bersyukur kepada ALLAH dengan kurniaan anaknya dan mampu bercakap positif kepada mereka.  

Warga LPPKN mengikuti Perhimpunan Awal Tahun 2018.

“Didik iman dalam hati anak supaya hidup berpaksikan ketuhanan menjadi keutamaan. Ini menjauhkan anak daripada perbuatan mensyirikkan ALLAH. Sesungguhnya syirik itu membawa kegelapan yang besar,” katanya dalam program dihadiri Pengerusi LPPKN, Datuk Mariam Yacob dan Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Hairil Fadzly Md Akir; Yang Dipertua Kesatuan LPPKN, Khairul Nizam Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff.

Tanda sokongan kempen

Sementara itu Mariam berkata, LPPKN #QuranHour merupakan sokongan agensi tersebut dalam menyahut kempen My Family #QuranHour dengan misi mengukuhkan keluarga dengan al-Quran.

Beliau dalam ucapannya berkata, LPPKN memperoleh banyak pencapaian tahun lalu termasuk penerimaan anugerah International Federation Family Development (IFFD) 2017.

“Anugerah tersebut adalah usaha LPPKN dalam membangunkan program keluarga di Malaysia sehingga terhasil Dasar Keluarga Negara serta Pelan Tindakannya. Ini mendapat perhatian daripada Persekutuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa.

200 warga LPPKN Ibu Pejabat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengikuti program LPPKN #QuranHour sebelum acara Perhimpunan Awal Tahun 2018.

“LPPKN turut menjadi finalis lima tangga teratas bagi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2017. Harapan saya, kita perlu menitikberatkan elemen kreativiti, keberkesanan, relevan dan signifikan dalam menghasilkan program dan produk induk.”katanya.

Tambahnya, menang pertandingan adalah anugerah, tetapi usaha dan komitmen warga LPPKN  bersama adalah anugerah yang lebih bernilai.

Selaras dengan usia agensi tersebut yang mencecah 52 tahun tahun beliau berharap LPKKN terus membawa pencapaian lebih banyak di peringkat nasional dan antarabangsa pada masa akan datang dalam membina keluarga sejahtera.