KAMPUNG GAJAH - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) komited memperkasakan peranan wanita bagi memastikan golongan itu juga terus maju dalam bidang pertanian.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, sifat wanita yang melakukan sesuatu dengan bersungguh bersesuaian dengan pengumuman tahun 2018 sebagai tahun memperkasakan wanita.

Menurutnya, LPP mengangkat peranan wanita dengan menambah baik dasar pertubuhan peladang dengan menjadikan wanita sebagai ahli Jemaah Pengarah di semua peringkat pergerakan pertubuhan peladang seluruh negara.

“LPP komited memberi peluang kepada golongan wanita untuk menjadikan bidang ini sebagai pilihan kerjaya kerana ia mampu memberi pulangan pendapatan tinggi dan membantu wanita agar mempunyai keupayaan sendiri dalam ekonomi.

“Daripada bilangan ahli peladang yang ada, 40 peratusnya adalah wanita dan ini menunjukkan golongan wanita juga turut memainkan peranan penting,” katanya ketika majlis perasmian  Karnival Peladang Jaya-Gegar Peladang anjuran LPP di pekarangan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Gajah, semalam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman itu turut dihadiri Ketua Pengarah  LPP, Datuk Mohd Salim Taha.

Antara gerai dan reruai pameran yang dibuka sempena karnival tersebut.

Zainal berkata, pertanian juga menjadi sumber kekayaan baru kepada rakyat jika diusahakan dengan baik.

“Kami turut memperkenalkan produk di bawah sumber kekayaan baharu termasuklah jagung bijian durian, kelapa matag dan nanas. LPP melalui pertubuhan peladang menggalakkan ahlinya memberi tumpuan kepada sumber kekayaan baru agar dapat memberi pendapatan yang lebih kepada mereka termasuklah ahli wanita.

“Kita juga telah dapat menarik minat golongan muda dengan dengan mewujudkan kelab pertanian sekolah di sekolah sekolah terpilih di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin berkata, PPK boleh menjadi teraju utama untuk memberi tunjuk ajar dalam bidang pertanian kepada ahli masyarakat.

“Ini bersesuaian dengan usia LPP itu sendiri sudah menjangkau 45 tahun dan mempunyai kekuatan bagi membuat transformasi dari segi pertanian.

“Kita mahu jadi petani maju selaras dengan keadaan semasa sekarang yang semakin canggih,” katanya.

Katanya, setiap petani harus melihat peluang yang ada di depan mata dan rebut peluang itu.

“Jika kita lihat petani di seluruh dunia sudah maju ke hadapan dan sepatutnya kita ambil peluang untuk berubah ke arah lebih baik.

“Lihat peluang yang ada dan rebut peluang untuk jana pendapatan lebih tinggi,” katanya.