SHAH ALAM - Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan disumbat ke dalam penjara.

Dakwanya, ini berdasarkan senario semasa yang menunjukkan tanda-tanda bekas perdana menteri itu bakal menuju ke tirai besi.

"Saya begitu yakin Najib akan ke penjara kerana saya pernah melalui proses ini bagaimana zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dari 1998 hingga 2003.

"Dulu saya pernah lapan kali di lokap pernah di tahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan sekali tapi dua kali," katanya dalam program FB Live Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib selesai beri keterangan isu SRC International]

Justeru katanya, berdasarkan sejarah lalu, tidak mustahil Mahathir menggunakan pendekatan sama untuk memenjarakan Najib.

"Zaman Tun M dulu beliau kawal semua dan senjatanya adalah ISA, jadi lipatan dahulu mengingatkan kita kepada Mahathir," katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai 'tanda-tanda' Najib bakal ke penjara, Lokman berkata ini berdasarkan kepada tiga perkara.

"Pertama ketika dilantiknnya Ketua Pengarah SPRM yang baharu, beliau secara jelas dilihat mempunyai dendam kesumat kepada Najib.

"Kedua tentang Jabatan Pendaftar Negara (ROS) dan ketiga mengenai tindakan pertukaran Peguam Negara," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaharu berhubung sabitan kes Najib, bekas Perdana Menteri itu hari ini  memaklumkan sesi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd selesai.

Najib yang masuk hari kedua hadir ke Ibu Pejabat SPRM kira-kira tujuh jam memberi keterangan kepada pasukan petugas siasatan SRC.