MARAN - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperkenalkan logo Tahun Memperkasa Wanita (TMW) 2018  bagi tujuan penyeragaman dalam mempromosikan aktiviti pembangunan wanita yang dijalankan oleh semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata penggunaan logo itu yang dijadual dilancarkan Rabu ini bersama-sama portal TMW 2018, akan diperluas ke setiap negeri menerusi program keusahawanan seperti Empower yang dijalankan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Sementara itu, portal TMW 2018 pula akan mengandungi pelbagai maklumat dan aktiviti berkaitan pembangunan wanita sekali gus boleh menjadi rujukan kepada pelbagai organisasi, NGO mengenai pencapaian wanita rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Juara Empower ECER Maran, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu,  seramai 400 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan 15 peserta Latihan Akademik menerima sijil masing-masing.

Sementara itu, Rohani berkata kementeriannya juga menyasarkan 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan pada 2020 seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

“Setakat ini penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan hanya 56 peratus dan kita yakin dapat mencapai sasaran 59 peratus berkenaan menerusi kerjasama pelbagai pihak seperti ECERDC kerana lebih 90 peratus daripada peserta Empower ECER adalah wanita walaupun ia terbuka kepada semua termasuk lelaki,” katanya. –Bernama