KUALA LUMPUR -  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  sentiasa menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya melalui reformasi sistem percukaian daripada sistem taksiran formal kepada sistem taksir sendiri (STS) bermula tahun taksiran 2001 dan 2004 bagi pembayar cukai syarikat dan selain syarikat termasuk individu.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkat,  selaras dengan pengenalan STS, pihaknya telah memperkenalkan sistem e-Filing dan ByrHasil bagi memudahkan urusan pembayar cukai untuk mengisytiharkan pendapatan dan membuat bayaran cukai.

"Menerusi e-Filing, pembayar cukai hanya perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan membuat pengiraan amaun cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan tanpa perlu mengemukakan sebarang resit mahupun dokumen sokongan.

"Resit dan dokumen sokongan hanya dikemukakan kepada LHDN apabila diperlukan untuk melengkapkan proses audit cukai dengan mengemukakan secara dalam talian melalui e-mel," menurut kenyataan LHDN.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan akhbar  ​​​​bertajuk ' Inland Revenue Board (IRB) Needs Better System’ (LHDN Memerlukan Sistem Yang Lebih Baik) baru-baru ini yang memetik Presiden Kesatuan Kongres Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor.

Menurut kenyataan LHDN lagi, sistem e-Filing juga telah ditambah baik menerusi pengenalan sistem e-Permohonan Pindaan BE yang membolehkan pembayar cukai individu membuat pindaan atas kesilapan pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my sentiasa dikemas kini dengan memuatkan maklumat bersesuaian seperti kaedah pengiraan cukai dan hak-hak pembayar cukai dan sehingga kini telah  menyediakan akses kepada 15 jenis perkhidmatan dalam talian (ezHasil) bagi memudahkan urusan percukaian orang ramai. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUBANG - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini akan mengambil langkah tegas dalam usaha membanteras pengelakan dan pelarian cukai dengan memberi tumpuan terhadap individu dan firma yang melakukan salah laku itu.
  • PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) membangunkan aplikasi mobile semakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menyemak status penghantaran borang, permohonan, status bayaran dan status rayuan BR1M.
  • KUALA LUMPUR - Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) kini bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi pertukaran rangka kerja maklumat.
  • CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menjalankan audit menyeluruh ke atas 15 bank tempatan dan luar negara yang beroperasi di Labuan, yang mempunyai transaksi luar pesisir.