PARIT BUNTAR - Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya pihaknya cuba mengiktiraf kewujudan golongan  Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini dengan mengeluarkan kenyataan tidak akan mengambil tindakan terhadap golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tohmahan dilemparkan kepadanya adalah bersandarkan kepada kenyataan medianya yang diputar belit pengamal media sosial.

“Perbuatan LGBT yang bercanggah dengan agama Islam kita tidak akan dapat terima dan tidak mungkin negara kita akan menerima perkara tersebut.

“Tetapi sebagai rakyat Malaysia, dari sudut hak asasi manusia, hak mereka tidak disakiti dan mendapat keadilan sudah tentu akan dijamin berdasarkan Artikel 8 Perlembagaan Malaysia iaitu setiap warganegara wajib mendapat keadilan tanpa menerima sebarang diskriminasi,” katanya pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Parit Buntar dan Adun Titi Serong di Dataran Kerian Permai, di sini semalam.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Mujahid mengeluarkan kenyataan golongan LGBT tidak akan diambil tindakan selagi mereka tidak mencabar undang-undang dengan secara terang-terangan mendedahkan dan seronok dengan perbuatan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mujahid turut menegaskan penganut fahaman Ahmadiyah masih terkekang dengan batasan undang-undang di bawah Perlembagaan Malaysia meskipun keputusan mahkamah menyebelahi pihak mereka kelmarin.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pengikut Ahmadiyah meneruskan aktiviti mereka di Selangor tanpa diganggu pihak berkuasa agama mungkin bersandarkan fakta kelompok fahaman itu sudah diwartakan sebagai bukan Islam.

Menurutnya, pada tahun 1998 dan pindaan tahun 2000 pihak majlis agama Islam mewartakan fatwa bahawa kelompok fahaman yang turut dipanggil Qhidainiyah itu sebagai bukan Islam.

“Disebabkan mereka di klasifikasi bukan agama Islam, justeru mereka tidak boleh didakwa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan permohonan saman jabatan itu ditolak.

“Kita bukan suka begitu, tetapi kita kena akur peruntukan undang-undang. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan meskipun sesuatu fahaman agama itu cuba menyerupai agama Islam, mereka masih terkekang dengan Artikel 11(4) Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan mereka tidak boleh berdakwa dan mempromosi ajaran masing-masing meskipun ada kebebasan beragama,” katanya

Turut hadir Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Exco Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Mujahid berkata, pihaknya juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dalam mendekati mana-mana ajaran agama yang cuba menyerupai Islam tetapi difatwakan bukan Islam oleh majlis agama.