PUTRAJAYA- Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) menyambut baik usaha Menteri Pengangkutan untuk menghapuskan amalan 'lesen kopi O' atau 'lesen terbang' di negara ini.

Pengurus Kewangan dan Pentadbiran IMKL, Harmain Shah Malek Ibrahim usaha itu bagi memastikan hanya pemandu yang benar-benar terlatih dan mempunyai kelayakan memiliki lesen memandu.

Bagaimanapun katanya, isu lesen kopi O atau Lesen Terbang hanya kes terpencil dan tidak banyak berlaku.

"Sekiranya ada sekalipun, rundingan atau 'kawtim' bagi mendapatkan lesen terbang berkenaan adalah melibatkan agen atau pihak penguatkuasa dengan pelajar, bukan melalui intitut memandu (IM),"katanya.

Beliau berkata, kesemua  IM sedar risiko yang akan mereka hadapi sekiranya menawarkan lesen terbang kepada pelajar mereka.

"Sekiranya dikesan, IM boleh dikenakan tindakan tutup operasi sehingga enam bulan.

Para pengusaha IM maklum risiko yang bakal dihadapi malah kami juga sentiasa mengingatkan guru-guru memandu supaya tidak sesekali menawarkan lesen terbang kepada orang ramai,"katanya.

Sementara itu, berkaitan arahan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memantau IM dan memastikan bayaran lesen diperincikan, Harmain berkata, langkah itu sudah dimulakan melalui sistem penarafan bintabg yang mula diperkenalkan JPJ dua tahun lalu.

"Antara kriteria dalam memperoleh penarafan merangkumi aspek pengurusan, pelajar dan pelaksanaan kurikulum, pengajar dan staf pentadbiran dan kemudahan.

Salah satu kriteria itu termasuk memperincikan bayaran yang dikenakan kepada pengguna seperti yang dikehendaki,"ujarnya.

Bagaimanapun katanya, proses itu memakan masa kerana memerlukan penaiktarafan sistem di sesebuah IM dan masih banyak IM belum mempunyai kemudahan tersebut.

"Kami menyambut baik saranan yang dibuat kementerian bagi mengelakkan prejudis dalam kalangan pengguna,"katanya

Sementara itu Harmain berkata, saranan kementerian supaya setiap kenderaan ujian dipasang kamera, adalah seiring dengan perkembangan teknologi hari ini.

Melalui langkah berkenaan, penguji JPJ akan memantau pergerakan calon ujian melalui 'control room' dimana kenderaan ujian dilengkapi dgn GPS.  

Rakaman ujian akan direkod dan boleh dilihat kembali.

Keputusan ujian juga akam lebih telus dan tidak lagi terganggu dengan emosi penguji JPJ,"katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melalui sidang media oertamanya kelmarin berjanji akan menghapuskan amalan 'lesen kopi O' atau 'lesen terbang' dengan meningkatkan pemantauan dan memperkenalkan sistem automasi di setiap institut memandu.