• Muhyiddin melancarkan laman Facebook Guru Muda 1 Malaysia, di sini. Muhyiddin melancarkan laman Facebook Guru Muda 1 Malaysia, di sini.
1 /

JOHOR BAHRU – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang akan diserap menjadi guru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, 30 peratus daripada lepasan SPM 2013 akan dipilih untuk dilatih menjadi guru sekiranya mereka berminat dengan profesion pendidik.

Katanya, ia selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan ( PPP ) 2013-2025 antara lain bermatlamat meningkatkan kualiti guru.

“Kita hendak ambil 30 peratus mereka yang paling cemerlang yang keluar daripada sistem persekolahan untuk dipilih untuk menjadi pelatih.

“Ini bermakna jika dahulu kita ambil mereka yang mendapat keputusan 6A atau 7A, dan kini kita akan naikkan gred kepada 9A iaitu gred tertinggi.

“Hanya yang mencapai tahap yang paling cemerlang yang kita ambil sekiranya mereka berminat untuk dilatih menjadi guru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) di Pusat Kokurikulum Johor Bahru di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 itu akan dilaksana menerusi tiga gelombang dengan bermatlamat memartabatkan profesion perguruan, meningkatkan kepimpinan sekolah dan kualiti sekolah, mantapkan standard kurikulum dan pentaksiran.

Selain meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa, penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan sosial sebagai rakan kongsi serta kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja dan memperbaik kecekapan dan keberkesanan sumber selain membina kemampuan dan keupayaan sistem penyampaian.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menjelaskan, kerajaan serius berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperuntukkan dana khas RM500 juta pada Bajet 2013 lalu bagi merealisasikan tujuan itu.

Kementerian Pelajaran akan meneruskan program Sukarelawan English Teacher Assistant (ETA) dari Amerika Syarikat (AS) dengan menambah 25 orang tahun depan.

“Sebelum ini seramai 50 ETA ini ditempatkan di serata sekolah di seluruh negara yang mendapat respons positif di kalangan guru dan murid dan pelajar berminat untuk menguasai Bahasa Inggeris, lebih berani untuk berkomunikasi dengan bahasa Inggeris,” katanya.