KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen PH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu yang mengugut mengancam nyawa Menteri Pertaniandan Industri Asas Tani , Datuk Salahuddin Ayub.

Ugutan itu muncul apabila individu timbul hanya kerana anak lembu miliknya mati akibat dilanggar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Menteri Pertanian yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram, Muar menerima bangkai anak lembu memakai baju PKR dengan satu nota ugutan bunuh yang bertulis "kepada YB Sallahuddin, lembu aku mati kena langgar, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak".

"Hari ini kami ahli-ahli Parlimen berkumpul untuk mengecam tindakan sesetengah pihak atau kumpulan yang ugut nyawa seorang menteri Kabinet.

"Kes ini serius sebab mengancam keselamatan seorang menteri, jika pihak tidak bertanggungjawab ingin guna ugutan nyawa untuk menakut-nakutkan pegawai, mereka silap besar.

"Kami ahli Parlimen dan kerajaan PH ingin hantar satu mesej jelas kepada rakyat bahawa kita tak rasa gentar pun dengan taktik jenayah dan kami akan terus menjalankan tugas secara jujur dan profesional," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau menegaskan, wakil rakyat dan kerajaan PH tidak akan sesekali tunduk terhadap sebarang ugutan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak sepatutnya wujud ugut ancaman sedemikian kerana pentadbiran baharu PH sangat terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak untuk berbincang.

"Kalau tak puas hati pentadbiran atau tugas oleh kami semua datang berjumpa, tapi jika lembu mati kemalangan nak disalahkan Menteri Pertanian, ia sesuatu yang tidak wajarlah.

"Kalau lihat macam ini, lembu mati kemalangan, takkanlah lembu mati kemalangan dia nak marah Menteri Pertanian, serah kepada polis untuk ambil tindakan," ujarnya.

Semalam, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai meletakkan bangkai seekor lembu bersama nota ugutan bunuh terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di depan Pusat Khidmat Dun Simpang Jeram, Muar, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, lelaki itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Kamaluddin berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya untuk meminta bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kes itu termasuk identiti dan usia suspek kerana siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, pegawai Salahuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku ketika Salahuddin tiada di pejabatnya di Muar.

Salahuddin juga adalah Ahli Parlimen Pulai yang terletak di daerah Johor Bahru dan juga Adun Simpang Jeram di Muar.