MINA - Perlantikan empat ahli lembaga pengarah baharu Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka dapat membantu mengembalikan kegemilangan institusi itu sebagai institusi yang disegani dan diyakini rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, barisan anggota lembaga pengarah ini seterusnya akan turut dapat memulihkan imej TH daripada sudut perniagaannya pada masa akan datang.

"Mereka dilihat berpotensi untuk menjadikan TH sebagai institusi yang akan mengembalikan semula maruah (negara) dan menjadi kebanggaan kepada berpuluh ribu pendeposit TH," katanya kepada media selepas melawat khemah jemaah haji Malaysia Muassasah di Arafah, semalam.

Barisan ahli lembaga pengarah baharu ini akan terus memulakan kerja-kerja pemulihan semula imej bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang dilantik baru-baru ini.

Mereka ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perakaunan Profesional Malaysia Datuk Zaiton Mohd Hassan dan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Prof Dr Ashraf Md Hashim.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Bakar dilantik sebagai Wakil Perbendaharaan untuk TH mulai 10 Ogos. Beliau ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Abu Talib kini mengetuai Jawatankuasa Khas mengenai 1Malaysia Development Bhd, manakala Zaiton ialah anggota lembaga pengarah Bank Islam, Sime Darby Plantations Bhd dan Dolphin International Bhd.

Ashraf pula berkhidmat sebagai anggota Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Bursa Malaysia.

Sementara itu, kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia hari ini selamat tiba di Mina setelah bermabid di Muzdalifah dan selesai melontar di jamrah qubra untuk mendapatkan tahallul awwal.

Mereka akan bermalam di Mina sekurang-kurangnya enam jam setiap hari selama tiga hari sebelum melakukan lontaran di tiga jamrah - Sughra, Wusta dan Qubra - sehari untuk tiga hari tasyrik, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi melengkapkan ibadah haji mereka. - Bernama