KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang tadi.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan, yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

Dia mati kira-kira sejam kemudian di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Kami terpaksa mengambil tindakan itu kerana lelaki itu bertindak agresif, mangsa selamat dan dihantar ke HKL  untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis berhadapan dengan sitiuasi sukar apabila lelaki itu berada dengan mangsa di dalam bilik serta bersenjatakan pisau.

"Lelaki berusia 34 tahun itu tidak menuntut wang tetapi mahu dadah dan jaminan dia selamat. Pakar psikiatri turut membantu dalam kejadian ini, lelaki itu tiada rekod masalah mental," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, suspek masuk ke dalam rumah mangsa lalu bertindak mengambil sebilah pisau dari bahagian dapur lalu meletakkannya di leher mangsa dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak melawan. Rumah mangsa yang terletak di Jalan Raja Mahmud mempunyai tiga bilik.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik utama.

Sehingga jam 3 petang tadi, pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen.

Pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa.

Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian dia berada dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu.

Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya.

"Isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat," katanya.

Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik.

Menurut polis, lelaki itu dipercayai bukan penduduk di sini, tetapi berasal dari Sabah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pernah ditangkap sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3A Akta Culik 1961.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad harus tegas dan tidak tunduk kepada taktik kotor untuk melemahkannya.
  • KUALA LUMPUR - Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) buat pertama kalinya menganjurkan Bengkel Pemantapan Puisi: Penulisan dan Deklamasi secara berkolaborasi dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke arah melahirkan golongan generasi puisi yang mantap dari segi keupayaan dan keyakinan diri dalam penghasilan karya mereka.
  • KUALA LUMPUR - Orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman bersempena sambutan Deepavali pada Rabu ini digalakkan memilih Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke destinasi masing-masing bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
  • KUALA LUMPUR - Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menasihatkan pemegang kad untuk membaca dengan teliti dan mengikut arahan pada skrin terminal pembayaran apabila membuat pembayaran dengan kad debit/kredit mereka.
  • KUALA LUMPUR - Bonus satu setengah bulan gaji, elaun bandar raya dan kad diskaun pengangkutan awam merupakan antara tuntutan Cuepacs untuk Bajet 2018 yang bakal dibentangkan 27 Oktober ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.