SHAH ALAM - Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia memperuntukkan perbuatan lelaki berlagak seperti perempuan sebagai satu kesalahan jenayah syariah dan boleh didakwa di mahkamah syariah.

Peguam syarie dari Tetuan Atiqah Syafiqah Associates, Syafiqah Abdul Razak berkata, antara contoh undang-undang itu adalah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang menyatakan; mana-mana lelaki memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Menerusi undang-undang itu, katanya, masyarakat perlu berperanan bagi membendung kesalahan tersebut dengan melaporkan kepada pegawai penguatkuasa agama atau polis supaya siasatan dapat dijalankan, seterusnya pendakwaan dapat dilakukan di mahkamah syariah jika bukti-bukti telah mencukupi.

"Perkara ini bertepatan dengan Seksyen 9 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, menyatakan tiap-tiap orang yang mengetahui pelakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan hendaklah dengan serta-merta memberikan maklumat kepada pegawai penguatkuasa agama atau pegawai polis yang terdekat tentang perlakuan atau niat itu.

"Secara prosedurnya, siasatan akan dijalankan sekiranya ada laporan kesalahan jenayah syariah," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Syafiqah turut menyarankan supaya undang-undang sedia ada diperkasakan dengan hukuman ditingkatkan dari RM1,000 kepada RM5,000 sebagai pengajaran kepada semua.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan kenakan tindakan tegas terhadap pondan ]

"Selain aspek undang-undang, aspek kerohanian juga perlu diberi perhatian untuk membendung isu ini daripada berleluasa. Usaha untuk mendakwahi mereka harus diteruskan supaya mereka kembali menjadi diri yang fitrah.

"Maka, sokongan masyarakat amat penting bagi individu yang telah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Masyarakat tidak wajar menghukum golongan ini tanpa melihat faktor secara keseluruhan," katanya.