KUALA LUMPUR - Pengguna dijangka mendapat lebih banyak manfaat dan keuntungan dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kadar yang dicadangkan adalah rasional, namun bergantung kepada beberapa faktor lain.

Menurutnya, meskipun SST mungkin mengenakan cukai 10 peratus tetapi perbezaan ketara tidak wujud jika dibandingkan dengan 6 peratus dalam GST.

“Melalui SST, kerajaan tidak kutip banyak wang berbanding GST. Pengguna untung lebih banyak bila SST dilaksanakan, lebih banyak berbanding GST.

“Semuanya pergi kepada pengguna, apa yang kurang daripada GST, itu adalah keuntungan buat pengguna. Secara keseluruhan, saya berpendapat SST lebih bagus daripada GST,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pengguna tidak dapat mengelak daripada terkesan dengan pelaksanaan SST.

“Kadar 10 peratus dikenakan itu untuk harga di kilang, bermakna ia telah melepasi pemborong dan penjual barulah kepada pengguna tetapi GST, daripada pengilang kepada pengguna, semua kena," katanya.

“Masa SST dilaksanakan dulu (sebelum GST), pengguna tak merungut pun, merungut masa GST saja. Kalau dulu tak bising, kenapa sekarang bising pula,” katanya.