AYER KEROH - Kerajaan Melaka memandang serius kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, sekali gus mahu penyelesaian konflik dilaksanakan dengan segera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pendirian Melaka selari dengan pendirian Malaysia menerusi Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, walaupun dikecam pihak berkuasa Myanmar yang menganggap desakan kerajaan itu sebagai mencampuri urusan mereka, namun Malaysia tetap berdiri atas dasar ketidakmanusiaan.

“Atas kesedaran inilah, kerajaan negeri mengadakan perhimpunan aman membela masyarakat Islam Rohingya sebagai satu desakan dan tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan serta-merta keganasan yang berlaku,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Aman Membela Masyarakat Islam Rohingya Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Lebih 8,000 peserta termasuk penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta, persatuan belia, penjawat awam serta NGO mengambil bahagian.

Idris turut melancarkan Tabung Demi Mu Rohingya bagi mengumpul dana membantu masyarakat Rohingya yang memerlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris turut menyelar sikap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang berdiam diri walaupun penindasan dan pembunuhan etnik Rohingya berlaku.

“Saya anggap beliau pemimpin murahan kerana tidak pertahan prinsip apabila pembunuhan etnik ini berlaku di depan matanya secara nyata,” katanya.