KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin​lawatan kerja dua hari ke Australia akan mengukuhkan lagi hubungan Asean-Australia dan Malaysia-Australia.

Najib yang kini berada di Sydney bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2018 mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull pagi Sabtu.

“Saya baru selesai bertemu dengan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull di mana beberapa isu dua hala telah dibincangkan antaranya kedua-dua pihak telah mengambil maklum bahawa perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia melonjak sebanyak 23.7 peratus kepada hampir RM54 bilion pada 2017.

“Begitu juga pelaburan antara Australia dan Malaysia malah pelaburan dari Malaysia ke Australia adalah lebih besar daripada Australia ke Malaysia termasuk sebuah kilang LNG yang dilaburkan Petronas bernilai AS4 5 bilion selain daripada jumlah dagangan antara Malaysia dan Australia,” katanya dalam siaran langsung di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Selain itu, katanya, hubungan dalam bidang pendidikan  antara kedua negara yang telah lama terjalin masih lagi penting dengan kira-kira 26,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Australia ketika ini.

Najib berkata Australia juga menjadi destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan 300,000 rakyat negara ini melawat negara itu tahun lepas.

“Di sini (Australia) juga terdapat tempat-tempat seperti restoran yang dimiliki rakyat Malaysia yang menunjukkan bahawa hubungan ‘people to people’ adalah sangat erat antara Australia dan Malaysia,” katanya.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu yang berlangsung kira-kira 30 minit, di adakan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Sydney menjelang Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2018 selama dua hari yang bermula petang ini (Sabtu).

Najib berkata sidang kemuncak khas yang julung kali diadakan itu menandakan bahawa sebagai suatu organisasi dan sebagai sebuah rantau, Asean semakin mendapat pengiktirafan oleh negara-negara luar kawasan Asean.

“Saya akan diberi penghormatan pada petang ini untuk mewakili Asean dalam majlis penutup satu persidangan berkenaan pencegahan jenayah antara Asean dan Australia.

“Saya yakin dan percaya sidang kemuncak khas ini dan juga lawatan dan perbincangan saya dengan pemimpin-pemimpin di Australia akan mengukuhkan hubungan Malaysia dan Australia dan Asean dan Australia,” katanya.

Najib satu-satunya pemimpin Asean yang dijemput untuk menyampaikan ucapan pada segmen penutup persidangan itu. Pemimpin lain yang akan berucap pada persidangan itu ialah Turnbull.

Ini adalah kali pertama Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak bersama semua pemimpin Asean. -Bernama