KUALA LUMPUR - Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Donald J. Trump seharusnya menjadi sesuatu yang diterima baik rakyat, bukannya diperkecilkan, kata bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Awang Adek berkata sebagai bekas duta negara ke Amerika, beliau terpanggil mengulas mengenai lawatan berkenaan yang diperkecil-kecilkan sesetengah pihak sebaliknya menyifatkannya ia sebagai satu penghormatan serta bukti Malaysia sebuah negara kecil yang dipandang tinggi kuasa besar dunia itu.

"Pengalaman saya semasa bertugas di Washington DC, nama Malaysia sentiasa mendapat tempat dan pandangan dunia termasuk Amerika. Malaysia dilihat sebagai negara berprinsip dan bebas menyuarakan sebarang pandangan. Sebab itu negara besar lain juga mahu mendapatkan pandangan Malaysia dan ini bukti Malaysia ada tempat di negara-negara di dunia ini, maka jemputan tersebut adalah suatu penghargaan," katanya pada satu sidang media di sini.

Awang Adek berkata jemputan Trump menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara penting yang dihormati termasuk berhubung pendirian Malaysia dalam memerangi keganasan dan kelantangan mengenai isu kemanusiaan melibatkan etnik Rohingya di Myanmar.

Ia terbukti apabila dalam lawatan berkenaan, semua isu tersebut merupakan antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan Najib dan Trump selain delegasi negara mendapat layanan istimewa daripada presiden berkenaan, katanya.

Najib mengadakan lawatan kerja ke Washington DC mulai 11 hingga 13 Sept.

Pembangkang dan pihak tidak bertanggungjawab telah melemparkan pelbagai tohmahan dan dakwaan palsu berhubung lawatan tersebut termasuk mengenai status lawatan tersebut.

Awang Adek yang menjadi Duta Besar Malaysia ke AS pada 2014 hingga 2016 berkata, pada era pemerintahan Najib, Malaysia menerima dua kali lawatan Presiden AS, Barack Obama iaitu pada 2014 dan 2015 dan ini menunjukkan AS mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan negara ini.

Katanya lawatan terakhir Presiden AS ke Malaysia sebelum itu adalah 46 tahun lalu iaitu lawatan oleh Presiden Lyndon Baines Johnson.

Awang Adek juga menegaskan bahawa lawatan Obama dan jemputan Trump baru-baru ini tidak didalangi oleh sebarang usaha melobi.

Awang Adek turut mengesahkan kenyataan Najib bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah melobi jutaan ringgit untuk bertemu Presiden George W.Bush pada tahun 2002.

"Saya ingin mengesahkan mempunyai maklumat bahawa PM yang dulu (Tun Mahathir) ada melobi untuk mendapatkan perjumpaan dengan Presiden Bush. Saya tidak ingat berapa jumlahnya tetapi jutaan RM, saya dapat maklumat daripada rakan-rakan saya, tetapi saya tidak mahu mengulangi nama mereka yang telah meninggal dunia," katanya.

Najib sebelum ini menempelak Dr Mahathir sebagai hipokrit kerana melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadapnya sedangkan bekas perdana menteri itu sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit untuk bertemu bekas Presiden AS pada 2002.

Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dilaporkan berkata ayahnya pernah membantu Dr Mahathir mengatur pertemuan dengan Bush di White House dengan membayar jutaan ringgit pada Mei 2002.

Dalam pada itu, Awang Adek ketika mengulas mengenai pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menyifatkan pelaburan berkenaan sebagai wajar namun ia dipolemikkan sehingga mendapat pandangan buruk rakyat.

"KWSP melabur di luar negara untuk mendapat pulangan lebih tinggi, tindakan KWSP adalah baik. Sebagai pelabur kita perlu melihat negara yang boleh membawa pulangan lebih baik, apa salahnya melabur di Amerika? Jika pulangan pelaburan di negara lain juga baik, kita juga akan pergi (melabur) ke negara lain," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pengangkutan darat negara bukan hanya tentang projek infrastruktur mega, oleh kerana, yang lebih penting adalah laluan ke arah peningkatan produktiviti dan keadaan hidup yang lebih baik bagi rakyat Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Pelantikan bakat tempatan Kapten Izham Ismail untuk menerajui Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) syarikat penerbangan negara itu perlu disambut baik oleh semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penguasaan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD 2017) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
  • PUTRAJAYA - "Strategi 'Cloud First' atau Pengkomputeran Awan Pertama akan diperkenalkan dalam agenda nasional, bermula dengan sektor awam, kerana ia amat penting bagi transformasi digital organisasi," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.