SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) berkaitan didesak segera menjelaskan situasi sebenar tindakan Kerajaan Oman melarang rakyatnya melanjutkan pengajian ke beberapa IPTA dan IPTS  di negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, langkah itu mustahak bagi memastikan imej IPT di Malaysia tidak terus tercemar dan dipandang remeh.

Menurutnya, isu berkaitan pengurusan dan kebajikan pelajar di institusi pengajian tinggi sewajarnya diberikan perhatian utama oleh pihak pentadbiran, tidak kira sama ada ia membabitkan pelajar tempatan mahupun pelajar warganegara asing.

"Bahkan pihak KPT sepatutnya menghargai keberadaan pelajar asing yang melanjutkan pengajian di bumi bertuah ini, kerana mampu menjadi duta kecil Malaysia apabila mereka pulang ke negara asal mereka.

"Dalam usaha kita untuk bergelar hab pendidikan tinggi di rantau Asia, kualiti pengurusan dan kaedah kemasukan pelajar daripada negara luar adalah antara komponen yang wajar diperhalusi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata,  di pihak pelajar, khususnya mereka yang berasal dari negara luar, kos pengajian yang sememangnya terlalu tinggi tidak perlu dihimpit dengan masalah pendaftaran serta dakwaan melulu disebabkan kelemahan pengurusan institusi terbabit.

Nurul Izzah berkata, justeru Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh diminta mengemukakan kenyataan balas terhadap larangan negara Oman, di samping mengetatkan prosedur kelulusan dan pantauan di bawah MQA.

"Juga, saya menyarankan kementerian berkenaan agar tampil dengan sistem pengesanan dan pengesahan pelajar yang lebih inklusif, dan tidak bersikap lepas tangan 100 peratus terhadap tanggungjawab ke atas 640 institusi pengajian tinggi tempatan, merangkumi IPT awam dan swasta," katanya.

Menurutnya, sesungguhnya pencapaian IPT tempatan bukanlah tertakluk pada peningkatan hasil penyelidikan yang dilaporkan meningkat sebanyak 7.2 peratus dalam tempoh enam tahun lepas atau kedudukan global IPT semata-mata.

Katanya, isu-isu pelajar, termasuk kadar kenaikan yuran pengajian berterusan dan bebanan hutang kos pengajian, serta kontroversi yang timbul, seperti dakwaan pemalsuan sijil diploma dan sarjana muda oleh pihak IPT juga perlu diselesaikan dengan penuh ketelusan.

"Di samping itu, saya menggesa pihak MQA agar meneliti aspek-aspek akademik dan pentadbiran di IPTA  dan IPTS melalui proses audit yang lebih terperinci.

"Krisis yang berlaku ini menampakkan kelemahan dalam sistem sedia ada sehinggakan kerajaan Oman perlu mengeluarkan larangan terhadap warganya.

"Alangkah sipunya jika kita berputih mata dengan istilah 'Soaring Upwards', tetapi gagal dalam meyakinkan komuniti global tentang kualiti dan integriti pendidikan tinggi di Malaysia menerusi tatakelola dan urus tadbir MQA yang lebih transparen dan telus," katanya.

KPT sedang meneliti tindakan kerajaan Oman yang melarang pelajarnya melanjutkan pengajian di empat IPT di negara ini, susulan pelbagai aduan dan dakwaan terhadap institusi tersebut.

Dalam kenyataan ringkas kepada Bernama, wakil kementerian itu berkata, MQA  akan menghubungi agensi akreditasi Oman untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung larangan itu.

Kementerian itu mengulas kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi Oman seperti dilaporkan oleh timesofoman.com yang membuat keputusan itu selepas merujuk kepada pelbagai aduan daripada pelajarnya mengenai IPT berkenaan, antaranya berkaitan hal akademik dan pentadbiran.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.