KUALA LUMPUR - "Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab," demikian kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengulas terhadap tindakan pemilik hotel yang melarang pekerja hotel di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) untuk bertudung.

Menurutnya, sekiranya benar itu satu arahan, ia telah melanggar arahan dan perlembagaan Malaysia.

"Setiap negara mempunyai undang-undang tubuh, apa-apa aktiviti dilakukan tidak boleh bertentangan dengan undang-undang. Kalau benar Prosedur Operasi Standard (SOP), datang negara orang perlulah hormat.

"Ini diskriminasi. Jangan ada diskriminasi biar pun atas apa-apa alasan sama ada agama, bangsa dan lain-lain," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di Parlimen, hari ini.

Penganjuran kali ketiga KLICF 2017 ini melibatkan 170 usahawan kraf daripada 35 buah negara antaranya Argentina, Azerbaijan, Indonesia, Iran, Nigeria, China, Mesir dan Ecuador.

KLICF yang bakal menyajikan pelbagai pengisian aktiviti ini akan berlangsung dari 23 hingga 26 November di Presint 3, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri tidak merasakan syarikat hotel antarabangsa ini mempunyai SOP melarang seseorang menggunakan tudung.

"Saya tidak percaya dan alasan itu tidak betul...saya hendak tengok mereka tunjukkan bukti itu. Saya tidak fikir mereka kenakan syarat sedemikian. Jadi siapa yang pertahankan perkara itu, dia kurang ajar.

"Kalau benar ada SOP,  perlu diprotes, beritahu bertudung adalah budaya kami. Kira-kira 60 peratus penduduk beragama Islam di Malaysia dan sudah tentu pakaian itu diamalkan di sini, kenapa pula ada syarikat buat syarat begitu? Adakah telanjang dan bogel lebih baik dari bertudung," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Larangan pekerja wanita bertudung hina Islam: Harussani ]

Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung  isu terbabit.

"Kalau rangkaian hotel, kalau mahu beroperasi, kena ikut cara kita. Mesti hormat undang-undang tubuh negara kita," katanya.

Sebelum ini, isu larangan pemakaian tudung ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Ia bertambah panas apabila Persatuan Hotel Malaysia (MAH)  mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung, bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang bagi memastikan kedudukan Islam dan hak umat Islam terus terpelihara.
  • MARAN - Kementerian Sumber Manusia masih meneliti untuk memuktamadkan keputusan yang perlu diambil dalam menyelesaikan isu larangan bertudung melibatkan pekerja wanita Islam di hotel.
  • KUALA LUMPUR - Larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian kaunter hotel tidak boleh diterima atau dirunding kerana ia satu penghinaan yang melanggar tiga perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan digesa mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha hotel dinegara ini termasuk yang bertaraf antarabangsa.
  • SHAH ALAM - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menentukan peraturan atau polisi agar diikuti hotel-hotel di negara ini, termasuk polisi pemakaian tudung bagi pekerja yang bertugas bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).