KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengkaji sama ada berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang sehingga mengakibatkan tanah runtuh baru-baru ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata buat masa ini kementeriannya sedang menilai perkara itu dan laporan dijangka diperoleh minggu depan.

“Saya akan menerima laporan siasatan minggu depan. Kita akan lihat sama ada ia melanggar SOP atau tidak.

"Siasatan ini akan menjurus mengenai pematuhan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Pindaan) 2018 (Akta 133) yang dipinda baru-baru ini," katanya ketika ditemui media  di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Sehingga jam  2 petang ini, lapan mayat telah ditemui dalam kejadian yang berlaku pada 1.56 tengah hari Jumaat itu, manakala dua lagi lelaki Bangladesh dilaporkan masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Minggu lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan terhadap Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Akta berkenaan antara lain menetapkan setiap pembangunan di kawasan yang melibatkan kecerunan melebihi 25 darjah dan jumlah ketinggian menegak melebihi 10 meter adalah diwajibkan untuk menyediakan laporan geoteknikal yang disahkan oleh pemeriksa bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia untuk memastikan struktur bangunan selamat.