LABUAN - Lapangan Terbang Labuan kembali beroperasi mulai jam 6 pagi ini selepas ditutup sementara pada jam 2 petang semalam berikutan insiden pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas.

Pengurusnya, Ahmad Fikri Samsuddin berkata, penerbangan pertama tiba dari Kota Kinabalu pada jam 7.30 pagi sebelum berlepas semula ke Kuala Lumpur pada jam 11 pagi.

Penerbangan dari Labuan ke Kuala Lumpur yang dibatalkan petang semalam dijadual semula pagi ini diikuti penerbangan lain ke Miri, Sarawak dan Kota Kinabalu, katanya kepada Bernama di sini.

Lapangan terbang itu ditutup untuk pengosongan landasan dan kerja-kerja pembersihan selepas pesawat TUDM itu menghadapi masalah gear pendaratan 10 minit sejurus berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada jam 11.07 pagi sebelum selamat mendarat semula pada jam 5.29 petang.

Juruterbang pesawat terbabit, Mejar Zul Helmie Zainuddin, dilaporkan berkata, pesawat berkenaan dalam rutin penerbangan latihan harian dari Pangkalan Udara Labuan ke Kuching dan Kota Kinabalu sebelum kembali semula ke Labuan.

Selepas mengesan masalah pada sistem gear pendaratan, juruterbang itu membuat keputusan untuk membatalkan latihan dan terus berlegar di ruang Labuan selama enam jam untuk cuba menyelesaikan masalah berkenaan.

Bagaimanapun, disebabkan kekurangan minyak, juruterbang itu kemudian membuat keputusan untuk mendarat tanpa gear pendaratan utama.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan terhadap lapan anak kapal yang berada dalam pesawat tersebut.

Susulan insiden itu, sekurang-kurangnya 11 penerbangan komersial dari dan ke Kota Kinabalu, Miri dan Kuala Lumpur dibatalkan semalam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LANGKAWI - Kapasiti prasarana di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi akan dipertingkatkan lagi bagi menampung pertambahan jumlah pelancong yang mengunjungi pulau ini, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Johari Abdul Ghani.
  • KUALA LUMPUR - Kesemua lapangan terbang utama hari ini beroperasi seperti biasa dan semua perjalanan penerbangan mengikut jadual yang ditetapkan, menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
  • KUALA LUMPUR - Malaysia telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Nepal.
  • KUALA LUMPUR - Isu pembinaan atau menaik taraf lapangan terbang antarabangsa tidak sepatutnya dipolitikkan kerana Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang.