CAMERON HIGHLANDS - Langkah meletakkan tempoh dua tahun lantikan jawatan Menteri Besar Pahang dan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini adalah sebagai motivasi untuk memastikan pihak yang dilantik bekerja dengan lebih baik.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah dalam tempoh berkenaan, baginda akan meneliti prestasi mereka sebelum mengkaji semula tahap perkhidmatan yang telah diberikan untuk rakyat Pahang dan pembangunan negeri ini.

"Antaranya saya tidak mahu mereka berada dalam dalam keadaan selesa, lena dan leka, saya nak mereka bekerja keras, kalau tidak berpuas hati, kita akan semak semula.

Harapan memanglah supaya mereka dapat laksanakan tugas dengan terbaik dan paling utama kita dapat satukan kembali semua rakyat dan selesai masalah yang dihadapi sebelum ini selain cuba menambah baik apa yang telah dirancang oleh menteri besar terdahulu," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas perasmian Masjid Al Huda, Kampung Raja dan majlis berbuka puasa bersama penduduk Cameron Highlands di sini petang semalam. - Bernama