$entry.content.caption.value
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Selepas penemuan kepala babi di sebuah masjid di Rawang kelmarin, Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini turut dikejutkan dengan insiden yang sama.
Kepala babi yang dibungkus dengan plastik disedari oleh seorang tukang sapu yang sekitar jam 7.30 pagi tadi. Ia diletakkan di depan pagar utama kawasan masjid berkenaan.
Mohd Nasir Ismail, 81, berkata, dia melakukan rutin hariannya seperti biasa untuk membersihkan kawasan masjid berkenaan namun terkejut dengan bungkusan yang mencurigakan itu.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangkakan ianya hanya bungkusan sampah biasa dan berniat untuk mengangkatnya, membuang ke dalam tong sampah.
"Bila saya amati,saya lihat telinga haiwan berkenaan dalam plastik tersebut dan saya terdetik ia bukan telinga kambing.
"Saya lihat ia juga sudah dihurung lalat dan ternampak muncongnya (hidung) yang terkeluar sedikit daripada plastik itu, saya tidak jadi pegang," katanya yang menyifatkan ia kejadian pertama seumpama itu sejak dia bekerja di situ lebih 20 tahun lalu.
Bungkusan plastik berkenaan rupanya sudah disedari malam malam tadi lagi oleh bilal masjid, Mohamad Kosli Shafie, namun tidak menyangka ia mengandungi kepada babi sehinggalah penemuan itu disedari pagi ini.
"Ketika itu pada pukul 11 malam, saya mahu menuntup pintu pagar masjid, tetapi bungkusan yang diletakkan dihadapan pintu pagar itu telah menghalang.
"Saya pun sepak bungkusan itu keluar dan menutup pintu pagar dan ketika itu masih berair. Saya hanya tahu itu babi apabila ia disedari pagi tadi," katanya kepada Sinar Harian.
Kawasan masjid yang terletak di tepi jalan itu menjadi tumpuan awam apabila unit forensik Polis Diraja Malaysia tiba.
Hasil pemeriksaan mendapati dalam bungkusan tersebut mempunyai kepala babi, kulit, kaki dan telinga.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahsara berkata, pihaknya akan meneliti sebarang perkaitan dengan kejadian yang sama di Rawang kelmarin.
"Kita akan kumpulkan semua maklumat yang berkaitan dengan penemuan babi di masjid-masjid ini untuk kita buat satu rumusan dan kita akan siasat perkara ini secara terperinci," katanya.
Menurut beliau, insiden berkenaan adalah perbuatan yang disengajakan untuk menimbulkan keresahan dan kemarahan khasnya dalam kalangan umat islam apatah lagi ia diletakkan di masjid.
Sehubungan itu katanya, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana membangkitkan perasaan marah dan keresahan di kalangan umat Islam.
"Sehubungan dengan kejadian, saya menyeru kepada umat Islam supaya tidak panik dan serahkan siasatan kepada pihak polis dan saya juga merayu kepada orang ramai khususnya khariah masjid di sini agar tidak membuat tindak balas di atas apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali yang turut berada di lokasi kejadian enggan mengulas insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Ahli Parlimen Bahagian Batu, Tian Chua yang turut mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Ibrahim berkata, ia perbuatan jahat, provokasi terhadap umat Islam yang dirancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Ketua Wira Perkasa Wilayah Persekutuan Zukhairi Md Osman juga mengutuk sekeras-kerasnya kejadian meletakkan kepala babi di masjid.
Katanya, kejadian seumpana itu semakin berluasa dan menunjukkan ada pihak-pihak tertentu cuba bermain dengan sentimen dan sensitiviti orang Islam dan membuat provokasi murahan.
"Tindakan biadap ini amat dikesali dan Wira Perkasa juga mendesak agar pihak polis menjalankan siasatan teliti dan menyeluruh," katanya.





