SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan 14 produk kosmetik yang baharu dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk seperti Diamond Gold Day Cream, Diamond Gold Night Cream, Karisma Nightcream Kunyit, Karisma Daycream, Seputih Melati Night Cream Whitening, Seputih Melati Night Cream Glowing, SYMA Magical Serum, SYMA Facial Cleanser dan Khumaera Moistskin Cleanser dikesan mengandungi merkuri.

Menurutnya, produk Diamond Gold Treatment Cream dan Karisma Treatment Sarang Burung dikesan mengandungi hydroquinone dan tretinoin, manakala, produk Majaja Serum Channtiq mengandungi merkuri dan hydroquinone.

“Alora Nught Glowing Cream dikesan mengandungi hydroquinone dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream mengandungi diphenhydramine.

“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

Menurutnya, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Noor Hisham berkata, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Menurutnya, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Produk yang dicampurpalsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit,” katanya.

Menurutnya, penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

“Manakala, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan dan boleh memudaratkan kesihatan.

“Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” katanya.

Selain itu menurutnya, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut.

“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada [email protected]

Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/.