SHAH ALAM - Tindakan kerajaan melaburkan dana hampir RM17 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat (AS) untuk membantu Presiden Amerika Syarikat mengukuhkan ekonomi negara itu adalah sesuatu yang tidak dapat difahami.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, J Solomon berkata, komitmen itu tidak menggambarkan pendekatan positif di pihak kerajaan apabila ia mempertaruhkan dana pekerja untuk mengukuhkan ekonomi kuasa besar terutamanya apabila terdapat keperluan untuk mengukuhkan ekonomi negara sendiri, sekurang-kurangnya untuk menjayakan Wawasan 2020.

"Adakah AS sebagai kuasa besar dan ekonomi terbesar di dunia amat memerlukan simpanan persaraan pekerja Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi sendiri?

"Kami memandang berat langkah kerajaan Malaysia memberi komitmen untuk melabur AS$4 bilion dari dana KWSP untuk mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam iklim ekonomi global, kita tidak menolak atau mempertikaikan kerajaan memasuki pakatan perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, sebelum tindakan sedemikian diambil, kerajaan tidak boleh mengabaikan keutamaannya terhadap rakyatnya sendiri, terutama kebajikan pekerja dan menguruskan wang yang dimiliki pekerja.

Jelasnya,  KWSP adalah milik pekerja dan ia harus dilaburkan untuk meningkatkan kebajikan pekerja agar tidak melabur dalam pasaran ekuiti AS untuk membantu infrastruktur dan pembangunan semula AS.

"Kami telah bercakap dan menulis secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar KWSP membayar dividin lebih baik bagi 2016 iaitu dengan membayar kekurangan dividen sebanyak 0.7 peratus KWSP.

"Permintaan ini dibuat kepada Perdana Menteri pada bulan Februari dengan mengambil kira pendapatan tertinggi yang diperolehi KWSP bagi tahun kewangan 2016 sejak kewujudannya dan untuk memastikan dana munasabah terkumpul dalam akaun pekerja individu yang merupakan satu-satunya perlindungan sosial pekerja untuk persaraannya," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum menerima respons kepada permintaan itu.

"Oleh itu adalah kewajipan moral bagi kerajaan untuk mengkaji semula dan menjelaskan kepada kami berkenaan dengan perjanjian ini dengan AS walaupun ia sepatutnya dilakukan sebelum komitmen diberikan kepada Presiden AS," katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Hasil pelaburan luar negara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga kini menunjukkan angka positif dengan para pencarum menerima pulangan yang tinggi, kata Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.
  • KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia meningkatkan pelaburannya dalam dana ekuiti swasta (PE) yang mematuhi Syariah, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburannya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.
  • ALOR SETAR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat sebelum dibenarkan melabur di luar negara berikutan statusnya sebagai pemegang amanah dana persaraan terulung di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - "Amalan dasar luar yang terbuka terhadap negara-negara lain telah memberi peluang pelaburan dan perdagangan untuk memangkin ekonomi Malaysia," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak 36.36 peratus kepada RM11.51 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017 (Q2 2017) berbanding RM8.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.