BAGAN DATUK - Semua produk yang dihasilkan dan dikeluarkan di sini akan mempunyai label 'Bagan Datuk Ori' dalam usaha mempopularkan daerah itu kepada orang ramai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata  usaha itu juga sebagai satu daripada langkah untuk mempromosikan produk keluaran Bagan Datuk ke peringkat antarabangsa.

Katanya sebuah ruang niaga khas, khusus untuk memasarkan produk yang berkaitan akan diwujudkan di Dataran Bagan Datuk bagi menggalakkan  lagi usaha tersebut.

"Semua produk ini saya telah luluskan penjenamaannya dan perlu letak label 'Bagan Datuk Ori’ bagi membantu memasarkan produk Bagan Datuk supaya lebih dikenali," katanya dalam ucapan semasa lawatan kerja ke kilang QL Foods Sdn Bhd di Hutan Melintang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk menyambut baik hasrat syarikat berasaskan makanan laut itu untuk membesarkan lagi operasi kilangnya sehingga 20.2 hektar.

Katanya syarikat tersebut yang mengeluarkan makanan sejuk beku hasil laut itu kini mempunyai 1,200 pekerja dengan 60 peratus daripadanya pekerja tempatan.

"Sudah pasti jumlah pekerja akan bertambah dan akan memberi peluang kepada anak-anak Bagan Datuk untuk pulang bekerja di sini.

"Kita menggalakkan  automasi tetapi  masih banyak lagi tenaga kerja yang diperlukan. Saya berharap kilang ini mengurangkan  lagi pekerja asing dan mengutamakan pekerja tempatan pada masa depan," katanya.

Ahmad Zahid turut berbangga dengan syarikat QL Foods kerana ia merupakan subsidiari QL Resources Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"QL mempunyai urus niaga bernilai RM3.5 bilion. Saya juga difahamkan bahawa produk keluaran kilang ini bukan hanya untuk pasaran tempatan malah ia dieksport ke luar negara dengan nilai RM400 juta," katanya. - Bernama