KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi keutamaan kepada jemaah berumur lebih 70 tahun bagi memenuhi kuota haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Kami juga akan meneliti rayuan daripada jemaah yang mempunyai sebab yang perlu kami beri kelonggaran seperti mereka yang mahu menemani saudara orang kurang upaya menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Zainal Abidin Jaffar. Seramai 510 pelajar cemerlang menerima bantuan kewangan berjumlah RM141,550.

Mengulas lanjut mengenai jumlah kuota jemaah haji untuk tahun ini, Jamil berkata, Malaysia masih menunggu surat berhubung perkara itu daripada kerajaan Arab Saudi.   

Beliau berharap kuota itu dapat dikekalkan pada 28,000 jemaah seperti tahun lepas kerana pada masa ini, kira-kira sejuta umat Islam Malaysia berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Namun, kita amat memahami kerajaan Arab Saudi mahu memberikan keselesaan dan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji. Dalam masa yang sama di Makkah, ada kerja menambah baik melibatkan pembinaan...kawasan tawaf dikecilkan ketika kerja pembinaan ini bagi memberi keselesaan kepada jemaah.

"Kami dapat tahu negara jiran seperti Indonesia, kuota hajinya dikurangkan...kalau terlampau ramai, mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan ibadah haji. Apapun kami tunggu surat kerajaan Arab Saudi dan pertimbangkan sebaik mungkin langkah selepas itu," katanya.

Semalam, kerajaan Arab Saudi dilapor akan memotong kuota jemaah haji Indonesia kira-kira 42,000 orang pada musim haji tahun ini berikutan terbatasnya ruang ibadah di tanah suci itu kerana projek mega memperluaskan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, atas penambahan kuota haji rakyat Malaysia tahun ini.
  • SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) belum menerima sebarang surat pengesahan rasmi daripada Kementerian Haji Arab Saudi mengenai pengumuman penarikan semula pengurangan kuota jemaah haji yang dilaksanakan sejak 2013.