KUALA LUMPUR - Dua tukang kunci memasuki kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Kehadiran mereka adalah sebahagian proses menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri yang dilakukan polis sejak malam tadi.

Difahamkan, polis menemui sebuah peti keselamatan di kediaman itu, namun tidak dibuka.

Kunci peti besi yang dianggarkan berusia 20 tahun itu dipercayai hilang dan kehadiran mereka adalah untuk membuka peti besi tersebut.

Semalam, kira-kira 16 kenderaan polis dan sebuah Black Maria memasuki kediaman Najib pada jam 10.15 malam bagi menjalankan siasatan dan susulan itu, kawasan sekitar kediamannya dikerumuni pengamal media tempatan dan asing selain orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini.