KUALA LUMPUR – Kumpulan kerja Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan (CTF) ketiga komited untuk memperluas keanggotaan kepada semua negara anggota Asean serta New Zealand selain memperluaskan skop sidang kemuncak untuk meliputi jenayah kewangan berisiko tinggi yang lain.

Pada masa ini, kumpulan kerja itu melibatkan Malaysia, Australia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura.

Komitmen itu terkandung dalam Pernyataan Kuala Lumpur sempena sidang kemuncak selama empat hari yang berakhir hari ini.

Menurut pernyataan, itu,kumpulan kerja akan bekerjasama dalam menyokong inisiatif Kerajaan Australia untuk melumpuhkan kumpulan pengganas, sumber pembiayaan, pergerakan dan penggunaan dana serta rangkaian kewangan keseluruhan mereka di Asia Tenggara melalui penubuhan Kumpulan Kerja Anti Pembiayaan Keganasan Asia Tenggara (SEA CTFWG) yang akan memperluas kerjasama dengan Unit Perisikan Kewangan (FIU) serantau dan pihak berkuasa berwiba lain melalui rangka kerja Sidang Kemuncak CTF.

Ia berkata, kumpulan kerja juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dan kolaborasi dengan industri dan akademik untuk meningkatkan respon secara kolektif terhadap keutamaan serantau menerusi inisiatif agenda Sidang Kemuncak CTF dan kumpulan kerja.

Mereka juga bersetuju untuk memanfaatkan program pertukaran dan mengadakan latihan perisik kewangan pelbagai hala untuk menganalisis bersama transaksi kewangan yang dilaporkan di rantau ini yang berkaitan dengan kegiatan warga negara mencurigakan yang beroperasi di luar negara yang mereka tinggal.

Kumpulan kerja juga bersetuju untuk menggunapakai dapatan program perisikan kewangan pelbagai hala untuk mengenal pasti keperluan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serantau bagi menyelaraskan pertukaran, analisis dan kolaborasi serantau antara pihak berkuasa anti pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

Menurut pernyataan, kumpulan kerja juga menyokong dapatan daripada penilaian risikio serantau Organisasi bukan Berasaskan Keuntungan (NPO) dan cadangannya, khusus untuk memperkukuhkan langkah-langkah anti pembiayaan keganasan yang disasarkan dan pemantauan sub-set NPO yang dikenal pasti berisiko tinggi dan membangunkan satu set petunjuk mengenai aktiviti NPO berisiko tinggi.

Sidang kemuncak selama empat hari yang bermula Isnin, menghimpunkan lebih 350 pakar dan profesional dari organisasi antarabangsa untuk berkongsi cerapan mengenai isu dan perkembangan pembiayaan keganasan terkini.

Sidang kemuncak itu dihadiri oleh 445 wakil dari 32 negara, terdiri daripada pegawai dan pakar antarabangsa dari FIU, pengawalseliaan, penguatkuasaan undang-undang dan agensi keselamatan nasional, industri kewangan, badan-badan multi-lateral, badan pemikir dan akademik dari seluruh rantau ini dan dunia.

Sidang kemuncak CTF tahun ini bertemakan 'Memperkasakan penyelesaian serantau melalui pengukuhan perikatan dan inovasi' terus membangunkan penyelesaian serantau bagi menangani isu-isu dan risiko pembiayaan keganasan melalui perkongsian perisikan kewangan dan menerimapakai dapatan daripada kumpulan kerja iaitu Kumpulan Perundingan  Perisikan Kewangan, Komuniti Forum Pakar Antarabangsa, dan Kumpulan Perundingan Keterlibatan Komuniti.

Thailand akan menjadi hos Sidang kemuncak CTF keempat pada 2018.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :