KUALA LUMPUR – Menteri Tenaga Manusia M. Kulasegaran akan memberi perhatian bagi menambah baik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai sebuah agensi yang unggul dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial untuk seluruh warga kerja di Malaysia.

Ia selaras dengan hasrat Kerajaan dalam teras pertama untuk meringankan beban rakyat dan menjamin kesejahteraan hidup seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Perkeso dalam satu kenyataan hari ini berkata antara penambahbaikan yang disyorkan adalah mewujudkan klinik bergerak di kawasan awam terutama di luar bandar dan bandar kecil yang dapat memudahkan urusan pencarum.

Perkara itu dibincangkan pada sesi taklimat lawatan kerja Kulasegaran, di agensi itu hari ini.

Semasa lawatan kerja itu, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Dr. Aseh Che Amat dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri  Mohammed Azman Aziz Mohammed memberi taklimat berkenaan fungsi, peranan dan hala tuju Perkeso yang melaksanakan program-program perlindungan keselamatan sosial.

Lawatan kerja itu turut disertai oleh Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Datuk Mohamed Elias Bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Amir Omar serta Setiausaha Bahagian Dasar Betty Hassan. - Bernama