KUALA LUMPUR - Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017) merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan produk-produk tempatan berkualiti.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara sasaran utama adalah memastikan produk-produk berkenaan berjaya menembusi pasar raya besar (hypermarket).

“Kita tidak mahu orang menganggap produk usahawan desa ini tiada kualiti. Sebab itu untuk KUD 2017 ini kita buat saringan terhadap produk yang dipamerkan.

“Kita mahu produk-produk yang berkualiti dan ada potensi untuk disenaraikan di hypermarket. Malah, produk-produk ini juga boleh dibawa peringkat global,” kepada media selepas mengadakan lawatan ke reruai pameran di KUD 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain persembahan produk (packaging) yang menarik, tiga syarat lain untuk membolehkan produk-produk tersebut memasuki hypermarket ialah memiliki maklumat nutrisi, kod bar dan logo halal

“Kebanyakan produk di KUD 2017 sudah memenuhi syarat dari segi packaging dan kualiti. Cuma masih ada yang belum memenuhi tiga syarat lain dan kita akan menekankan aspek itu selepas ini,” katanya.

Katanya, wakil hypermarket juga dijemput ke KUD2017 bagi melihat sendiri produk usahawan desa yang dipamerkan.

“Kerajaan menetapkan 30 peratus daripada produk hypermarket mestilah produk tempatan. Namun jumlah itu belum dicapai atas alasan produk tempatan tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“Dalam KUD 2017, wakil hypermarket boleh menilai sendiri produk-produk ini. Setakat ini, sebanyak 15 peratus produk luar bandar berjaya memasuki hypermarket sejak KUD diperkenalkan ” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, KUD 2017 juga diadakan bagi mengubah persepsi masyarakat yang memandang rendah produk tempatan.

“Ada yang selama ini mengagung-agungkan produk import, sedangkan produk usahawan kita jauh lebih baik dan segar,” katanya.

Terdapat lebih 700 reruai produk dan perkhidmatan tempatan di KUD 2017 yang berlangsung empat hari di PWTC sehingga 22 Oktober ini merangkumi produk makanan, pertanian, pelancongan, kesihatan dan lain-lain lagi.

Tagline bagi KUD 2017 adalah Usahawan Desa Produk Global, manakala tanda pagar KUD 2017 pula adalah #supportlocal.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.