KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menambah baik perkhidmatan sistem e- tiket bagi mengimbangi permintaan pengguna yang semakin meningkat, di samping mengaktifkan sistem pemulangan tambang secara automatik sejak semalam untuk mengatasi masalah kelewatan pemulangan tambang kepada pelanggan.

Menurut KTMB, menerusi sistem baharu itu, pelanggan akan mendapat kembali wang mereka dalam masa sehari berbanding sebelum ini selama 14 hari atau lebih.

Selain itu, KTMB menambah jumlah mesin penjualan tiket sebanyak 47 mesin pada 3 April lepas, di samping menyediakan talian Internet khas 50 mbps (megabit sesaat) bagi meningkatkan keupayaan sistem dalam menangani peningkatan transaksi dalam talian.

Sistem maklum balas transaksi melalui e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) juga ditambah baik serta reka bentuk semula laman sesawang rasmi KTMB dan pembelian tiket secara atas talian sedang dijalankan agar mesra pengguna, menurut kenyataan KTMB.

KTMB turut menyelaras saluran komunikasi rasmi melalui platform laman sesawang rasminya, Twitter dan Facebook, di samping menambah kakitangan di Unit Perkhidmatan Pelanggan KTMB bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti penerimaan panggilan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui KTM Komuter hari ini melancarkan perkhidmatan basikal oBike di stesennya dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan rangkaian sistem pengangkutan awam.
  • KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mula menjual tiket untuk Hari Raya Aidilfitri mulai Isnin ini pukul 10 pagi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.