KUALA LUMPUR — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  (KPWKM) memberi perhatian khusus terhadap kemudahan pusat jagaan kanak-kanak dalam usaha meningkatkan kadar kelahiran di Malaysia menjelang tahun 2020.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata kemudahan pusat jagaan kanak-kanak adalah antara sokongan utama yang boleh diberikan kepada ibu bapa bagi menggalakkan lebih banyak kelahiran.

“Kekurangan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja antara faktor golongan ibu mengehadkan bilangan kelahiran dalam keluarga mereka.

"Oleh itu, perhatian yang harus kita berikan adalah kemudahan pusat jagaan kanak-kanak agar ibu bapa yang bekerja boleh melaksanakan tugas mereka seperti biasa tanpa perlu risau mengenai keselamatan anak-anak mereka,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Asmak Husin mengenai rancangan atau promosi yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menggalakkan kaum ibu meningkatkan bilangan kelahiran dalam keluarga.

Sementara itu, Hannah turut menekankan semua agensi kerajaan yang mempunyai majoriti pekerja lelaki turut menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak.

“Kementerian ingin galakkan semua agensi kerajaan yang mempunyai bilangan pekerja lelaki yang lebih ramai daripada pekerja wanita turut sama menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak kerana tugas menjaga anak-anak adalah tanggungjawab bersama ibu bapa.

"Kementerian turut bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai cadangan untuk mengeluarkan wang simpanan dari akaun kedua golongan bapa bagi tujuan melakukan rawatan kesuburan,” katanya.- Bernama