ALOR SETAR - Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menawarkan 3,000 tempat untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program ‘1 Rumah 1 Mahasiswa’.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, program itu memberi peluang pelajar yang tidak mendapat melanjutkan pelajaran ke menara gading, sekali gus meningkatkan kembali pengambilan pelajar di KPTM.

“Keistimewaannya, lepasan sekolah yang berhasrat menyambung pengajian melalui program ini hanya perlu membawa RM250 ketika pendaftaran kemasukan.

“Program ‘1 Rumah 1 Mahasiswa' adalah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat untuk mengubah kehidupan mereka,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Hal Ehwal Pelajar (HEP) 2016/2017 di TH Hotel, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, program yang dilancarkan pada 4 Ogos di Jerantut memberi peluang kepada anak keluarga tidak berkemampuan untuk belajar.

“Ada pelajar tidak mampu menyambung pelajaran disebabkan kesusahan keluarga. Malah, ada yang putus asa selepas tidak dapat peluang di IPT lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka dari keluarga berpendapatan rendah memiliki harapan baharu untuk mengejar cita-cita dan menyambung pengajian melalui program tersebut.

“Malah, 2,000 pelajar yang menepati kriteria memiliki tujuh kepujian dalam SPM berpotensi untuk menerima tajaan Mara sepenuhnya, manakala selebihnya akan ditawarkan bentuk bantuan lain, seperti PTPTN,” katanya.

Malah, katanya, lepasan sekolah yang membuat pendaftaran awal dan menerima surat tawaran akan menerima wang pendahuluan antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk kegunaan mereka dengan datang ke cawangan terlibat.

Kata beliau, dia berharap pengarah kampus dapat melancarkan kempen ‘1 Rumah 1 Mahasiswa’ di cawangan masing-masing dengan bekerja sama dengan ahli parlimen kawasan terlibat.

“Seperti di Jerantut, pelajar yang berminat hanya perlu membawa RM50 untuk belajar di KPTM, manakala RM200 ditanggung pejabat ahli parlimen demi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, KPTM yakin dapat meningkatkan pengambilan pelajar dari 15,000 kepada 18,000 dengan penawaran tempat di sembilan kampus cawangannya.

Menurutnya, penawaran tempat pengajian untuk pengambilan baru pelajar membuktikan KPTM serius untuk terhadap pendidikan dan masa depan mereka.

Ahmad Nazlan berkata, 3,000 tempat pengajian ditawarkan melalui program ‘1 Rumah 1 Mahasiswa’ KPTM kepada lepasan SPM  dibuka untuk pengambilan September depan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.