PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama dengan konsortium universiti melancarkan Sistem Pengeluaran dan Pengesahan Universiti (e-Scroll) menggunakan teknologi Blockchain bagi mengatasi masalah ijazah palsu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPM, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata usahawa itu bertujuan memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi.

Menurutnya, ijazah palsu boleh diperoleh dengan mudah di internet.

"Oleh yang demikian, sebuah sistem yang selamat dan mantap diperlukan untuk mengatasinya," katanya.

Beliau berkata, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul institusi pengajian tinggi pertama menggunakan sistem e-Scroll pada istiadat konvokesyen esok.

"Penerima akan menerima ijazah menggunakan kod khas sistem itu," katanya.

Siti Hamisah berkata, idea membangunkan sistem itu telah dirumuskan pada Januari lalu oleh Majlis Dekan-dekan ICT(MADICT).

"Susulan itu, MADICT dan KPM bercadang menggunakan teknologi blockchain untuk meningkatkan kecekapan dalam mengesahkan sijil asli," katanya sambil menambah universiti Malaysia menerima ribuan pengesahan daripada seluruh dunia untuk tujuan pengesahan.