JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan sentiasa mengalu-alukan penganjuran kempen kesedaran yang lebih kerap di sekolah-sekolah mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekalipun.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata kempen-kempen juga boleh dijayakan menerusi pembabitan sektor swasta dan juga parti-parti politik.

"Ketagihan dadah dalam kalangan pelajar tidak seharusnya dianggap ringan dan itulah sebab bagi pihak kementerian, saya akan menyokong mana-mana pergerakan yang berhasrat membanteras penyalahgunaan dadah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Komuniti Nong Chik di sini, hari ini.

Beliau berkata sektor swasta boleh membantu usaha ini melalui sumbangan mereka dalam pelbagai bentuk, manakala parti politik menerusi penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang diadakan.

"Ideologi diketepikan, semua pihak harus meningkatkan penglibatan dalam membantu masyarakat terutama yang melibatkan generasi muda kerana ini berkenaan masa depan,” tambahnya. - Bernama