PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengkaji untuk merangka polisi pembaziran sifar yang disasarkan kepada pasar raya dan gedung-gedung perniagaan untuk diagihkan kepada golongan miskin.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, polisi itu melibatkan agihan lebihan makanan atau ‘food surplus’ seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan produk bakeri daripada premis berkenaan kepada golongan sasar.

Mengikut amalan biasa, katanya, lebihan makanan itu selalunya dibuang di tapak pelupusan walaupun ia masih lagi dalam keadaan elok.

“Ia masih di peringkat ‘brainstorm’, tetapi kami berhasrat untuk merangka satu polisi pembaziran sifar.

“Kami berhasrat mendapat penyertaan daripada gedung-gedung perniagaan seperti Tesco, Giant dan Aeon untuk tidak melupuskan atau membuang makanan ini, sebaliknya boleh kita agihkan kepada golongan masyarakat yang tergolong dalam kelompok miskin,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2018 KPDNHEP, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pegawai-pegawai kementerian itu kini dalam peringkat menyediakan satu kertas dasar bagi melaksanakan perkara itu.

Beliau juga telah meminta pegawainya meneliti pelaksanaan polisi ini yang telah dijalankan di negara seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Singapura.

“Itu antara negara-negara yang terkehadapan perkara ini dan mereka ada undang-undang yang mengawal polisi pembaziran sifar ini. Maksudnya ianya satu program yang komprehensif yang mesti ada aspek kawalan undang-undang.

“Di negara kita, belum lagi ada undang-undang ini, jadi pegawai-pegawai saya telah pun memulakan kajian awal. Saya pesan pada mereka supaya agenda ini diberikan keutamaan. Contoh negara luar boleh dipelajari, kita ubahsuai mengikut kesesuaian negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution berkata, beliau sudah menjalankan projek pembaziran sifar di Pulau Pinang menerusi Mutiara Food Bank bermula 1 Julai tahun lalu, ketika menjadi Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu.

“ia melibatkan lapan pasar raya besar Tesco di Kedah dan Pulau Pinang dan sehingga kini, sebanyak 17,000 keluarga sudah terima manfaatnya.

“Jadi saya minta pegawai-pegawai saya turun mempelajari sesuatu di sana dan mereka sedang menyusun. Selain itu, ada juga pertubuhan bukan kerajaan sudah laksanakan dalam skala kecil, tetapi bila saya pimpin kementerian ini, projek sosial ini boleh dijalankan secara berkesan dan berskala besar,” katanya.