PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dalam memastikan setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk subsidi  barang  keperluan utama pengguna sampai kepada golongan sasaran.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana kerajaan telah berbelanja besar untuk tujuan itu.

“Tidak boleh ada kebocoran dan ketirisan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap kerajaan tidak akan merombak dasar subsidi barang keperluan utama  bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2019 yang dijangka dibentangkan  pada November ini.

"Saya bagi contoh item pengguna seperti minyak masak, gas memasak yang (termasuk) dalam program penyeragaman harga untuk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Dasar yang sedang berjalan ialah  dengan memberi subsidi.

"Walaupun saya tahu kekangan kewangan di pihak kerajaan, hasrat saya adalah dasar berupa pemberian subsidi ini kepada item pengguna yang mustahak tidak memungkinkan kita merombak dasar ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata jika subsidi itu ditarik balik, akan berlaku kenaikan harga yang memberi kesan langsung kepada rakyat. -Bernama