KUALA LUMPUR - Sektor korporat disaran menjadikan universiti dan sekolah sebagai anak angkat untuk melahirkan graduan usahawan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yakin langkah itu membolehkan negara melahirkan lebih ramai graduan usahawan yang boleh menjana peluang pekerjaan tercapai.

"Harapan saya sektor swasta dan korporat yang mempunyai pengalaman dan kemahiran keusahawanan membantu kami dengan menjadikan universiti dan sekolah sebagai anak angkat," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Ahli Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Negara (MKPTN), di sini, hari ini.

Maszlee berkata, kementerian berharap kepakaran dimilik ahli MKPTN dapat melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja dalam bidang keusahawanan tetapi juga dapat melengkapkan diri dengan ilmu manusiawi.

Pada majlis itu,15 orang ahli korporat dan perniagaan dilantik menganggotai MKPTN bagi penggal 2019-2020.

Ahli MKPTN terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Datuk Norhalim Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood; Pengerusi Airasia dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Group, Datuk Kamarudin Meranun serta mantan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar.

Ahli lain terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank Malaysia, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz YM Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Nelson Franchise, Datuk Seri Nelson Kwok Teng Toong; Pengarah Urusan Dc&A Group, Datuk David Chua; Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi; Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sports, Ali Hassan Mohd Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Dream EDGE, Khairil Adri Adnan; Pengarah Urusan Animonsta Studios, Mohd Nizam Abdul Razak; Co-Founder Thelorry.Com, Nadhir Ashafiq; Ketua Pegawai Eksekutif Saora Industries, Ganesh Muren dan Ketua Pegawai Eksekutif Center For Research, Advisory & Technology (Create), Ng Yeen Seen.

MKPTN telah ditubuhkan pada 15 Mac 2011 bagi membantu KPM meningkatkan usaha dan memantapkan pelaksanaan inisiatif di bawah Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020.

Majlis itu akan bertindak menyelaras dan mengawal selia pembangunan serta pendidikan keusahawanan di IPT bagi memastikan ia selari dengan dasar dan polisi kerajaan dalam usaha untuk melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan unggul.

Selain itu, MKPTN turut terlibat secara langsung dalam program dan aktiviti keusahawanan KPM termasuk penganjuran 'Ministry of Education Entrepreneurial Awards' (MEA) yang bertujuan untuk mengiktiraf IPT dan warganya yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan.