KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyindir  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perubahan sikapnya mengenai projek melibatkan China-Malaysia.

Menurut ahli Parlimen Pasir Salak itu, jika dahulu ketika pentadbiran BN, Dr Mahathir sering mengaitkan projek melibatkan China-Malaysia sebagai tindakan 'menjual' negara namun sebaliknya berlaku kini.

Malah katanya, Dr Mahathir meneruskan projek-projek berkenaan malah mendakwa projek berkenaan baik buat negara.

"Jadi Dr Mahathir sekarang sudah mengakui cuma tidak secara terbuka beliau mengakui projek dengan China itu yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak itu semua bagus belaka dan memberikan keuntungan pada ekonomi negara," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian merujuk perubahan sikap Dr Mahathir berhubung projek yang melibatkan China-Malaysia.

Mahathir yang sebelum ini begitu kritikal terhadap projek melibatkan China-Malaysia seperti isu Proton, projek "Forest City" dan "Melaka Gateway"  juga sering dimainkan oleh Dr Mahathir dan pemimpin PH untuk menuduh pentadbiran Najib  menjual negara, kini bernada lain apabila bercakap mengenai perkara ini.

Oleh itu, kata Tajuddin sikap Dr Mahathir ini adalah sengaja mahu mencari nak modal yang mahu menghentam Najib.

"Selagi ada model dia (Dr Mahathir) boleh guna dia reka kerana jika kena rekaan Itu boleh yakinkan rakyat, banyak orang biasa mudah terpengaruh kononnya Najib bagi projek dekat China tapi sekarang apa jadi," katanya.

Mengulas lanjut perkara ini Tajuddin berkata, "sudahnya lembu punya susu sapi dapat nama,".