KUALA LUMPUR - Kongres Pembangunan Kampung Baru bakal dilaksanakan bagi mencapai kesepakatan berkaitan konsep pembangunan semula kawasan segi tiga emas itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun, berkata, kongres berkenaan akan melibatkan agensi bawah Kementerian Wilayah, penduduk, serta pihak berkepentingan di Kampung Baru.

Menurutnya, ia dijangka dilaksanakan sebelum hujung tahun ini selepas beberapa penstrukturan semula agensi berkaitan diselesaikan.

“Jawatankuasa kongres akan dibentuk selepas selesai semua sebarang pelantikan semula agensi-agensi di Kampung Baru. Jawatankuasa ini akan diwujudkan bersama dengan penglibatan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

“Pemilihan semula ketua-ketua kampung di Kampung Baru akan dibuat kerana saya dimaklumkan sebelum ini ada yang dilantik tanpa melalui pemilihan. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana melibatkan suara penduduk,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyatakan sokongan terhadap rancangan pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan 360 unit rumah termasuk rumah pangsa dan teres di situ.

“Saya lihat usaha itu sebagai platform menaiktarafkan sosioekonomi penduduk yang telah menetap di situ sejak 40 tahun lalu. Paling penting, hak orang Melayu masih terjaga. Kepentingan dan kebajikan penduduk juga diberi keutamaan,” katanya.