TAPAH - Komunikasi silang budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu terus dipertahankan bagi mengelak berlakunya pemetakan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sentimen pemetakan masyarakat yang wujud semasa dasar pecah dan perintah seharusnya telah terpadam selepas negara mencapai usia 60 tahun merdeka.

"Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, di mana kita merasakan kemajmukan ini harus dipertahankan dengan penuh keharmonian, pertahankan komunikasi silang budaya.

"Ini supaya kita (Melayu) dapat memahami perasaan masyarakat Cina, India, Orang Asli dan mereka juga dapat memahami perasaan kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tapah di sini, hari ini

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno menegaskan walaupun Umno merupakan parti keramat orang Melayu, namun ia merupakan pemangkin utama dalam menyemai komunikasi silang budaya dalam kalangan masyarakat majmuk.

Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno mengambil contoh Umno Bahagian Tapah sebagai antara yang berjaya mempraktikkan komunikasi silang budaya dengan jayanya.

Katanya ia terbukti apabila anggota Parlimennya daripada MIC iaitu Datuk M.Saravanan, manakala dua lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing daripada MCA iaitu Datuk Dr Mah Hang Soon (Chenderiang) dan Datuk Samsudin Abu Hasan dari Umno selaku Adun Ayer Kuning.

"Tiada akan masalah di Tapah kerana silang budaya berlaku dengan cukup baik di sini, tidak berlaku pemetakan," katanya.

Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata mana-mana anggota Parlimen yang bukan Ketua Bahagian perlu berkongsi peruntukan yang diterima dengan semua Adun dan tidak menggunakannya untuk kepentingan peribadi. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK INTAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kawasan Parlimen Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk di sini dimasukkan dalam Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
  • BANDAR BAHARU - Sebuah kereta antik jenis Mercedes-Benz keluaran 1946, tahun kelahiran Umno, digunakan untuk membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di sini hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.