SHAH ALAM - Komitmen Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk menyiasat skandal dikaitkan dengan kementerian itu disifatkan sebagai langkah terbaik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi-institusi awam negara.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (Harapan), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu juga dilihat boleh membongkarkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa dilakukan kerajaan pimpinan BN sebelum ini.

“Kepentingan warga pertahanan negara haruslah diutamakan kerana mereka menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Sekiranya terdapat sebarang penyelewengan, ia akan menjejaskan kemampuan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, rakyat juga tidak mahu hal-hal keselamatan negara dikompromi kerana kegagalan menyediakan aset dan pembekalan perkhidmatan sempurna.

“Amalan rasuah, pemberian kontrak kepada syarikat kroni, pembelian aset  tidak menepati piawaian dan sebagainya haruslah dihentikan serta merta, manakala setiap kontrak yang telah dimeterai harus dilihat semula dari segi faedah dan kos kepada ATM (Angkatan Tentera Malaysia).

“Dalam pada kita membina semula negara, kita juga harus memperkasakan semula pertahanan negara dan saya percaya Menteri Pertahanan akan menjalankan tugas ini dengan telus dan penuh bertanggungjawab.

Selasa lalu, selepas menandatangani nota terima tugas, Mohamad berjanji untuk menyiasat segala dakwaan mengenai skandal dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan, termasuk isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi.

Tindakan itu akan diambil berdasarkan bukti kukuh dan siasatan rapi, bukan hanya mendengar cakap-cakap (hearsay).