BERPEGANG teguh atas prinsip membantu tanpa mengharapkan balasan, dia tidak pernah menyalahgunakan tanggungjawab yang diberikan untuk kepentingan peribadi.

Sebaliknya amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin untuk membantu dan berbakti kepada masyarakat tanpa mengira kaum di daerah ini.

Atas sikapnya yang suka membantu, Hoo Kok Chong, 54, memilih untuk menyertai pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sejak 16 tahun lalu.

Meskipun dalam usianya kini,  dia terus bertahan menabur bakti biarpun khidmat yang dicurah tidak menjanjikan habuan lumayan.

Demi minat, semangat dan disiplin yang tinggi, Kok Chong cekal berdepan asam garam kehidupan sebagai anggota rela  dan atas komitmennya itu, beliau kini  dilantik sebagai Ketua Perhubungan Rela Kuantan (KPRK).

Kok Chong dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pakar perubatan tradisional Cina (tabib Cina) ini berkata, sebelum menyertai Rela, dia menyertai banyak persatuan namun tertarik untuk menyertai pasukan sukarelawan itu disebabkan aspek disiplin yang diterapkan.

Dia akui penyertaan kaum Cina dalam pasukan itu terlalu kecil, dia tidak pernah menjadikan isu itu sebagai alasan.

Sebaliknya dia terus aktif menjalankan amanah bersama rakan-rakan sepasukan dari kaum lain.

"Bila kita tahu peranan sebagai anggota dan fungsi pasukan, tugas kita sebagai pasukan sokongan secara sukarela lebih bermakna, jadi tak timbul isu sentuh hal perkauman.

“Kita berkawan dengan semua orang baik Cina, Melayu atau India, tak ada masalah,” katanya.

Ketika turut sama menyertai mesyuarat Rela.

Baginya, sebagai anggota Rela, dia tidak mengambil kira aspek batasan kaum, sebaliknya dalam pasukan mereka seperti satu keluarga besar yang bersemangat tinggi membantu masyarakat.

Dia bersyukur apabila sumbangannya dalam pasukan dihargai dan diiktiraf sehingga diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Ketua Perhubungan Rela Kuantan (KPRK) dan ketua Platun Bukit Sekilau 330.

“Melalui Platun Bukit Sekilau 330, kami bergerak aktif melaksanakan program kemasyarakatan setiap tahun.

“Dari situlah saya dikenali bukan sahaja dalam kalangan anggota, pegawai malah masyarakat setempat,” katanya.

Dia yang kini mengendalikan pusat Perubatan Kok Chong TCM Center yang beroperasi di Jalan Seri Kuantan di sini berkata, sepanjang 16 tahun berkhidmat, dia pernah menerima beberapa anugerah antaranya mendapat penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 2011.

Kok Chong (tengah) bersama anggota platun.

“Bagi saya, anugerah dan pengiktirafan tak penting, sebaliknya dapat bantu orang ramai," katanya.

Selepas 16 tahun menabur bakti, Kok Chong membayangkan untuk bersara tahun hadapan.  Walaupun ketika itu dia tiada lagi dalam pasukan, namun sekiranya diperlukan dia bersedia untuk membantu.