KUALA LIPIS - Selepas Klinik 1Malaysia dan Klinik Bergerak 1Malaysia, satu lagi perkhidmatan kesihatan untuk rakyat iaitu Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia dilancar.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata klinik itu bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada golongan yang tinggal di pedalaman.

"Kuala Lipis dipilih sebagai daerah pertama yang menerima klinik ini," katanya pada majlis pelancaran klinik berkenaan, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan memperluaskan perkhidmatan baru untuk rakyat itu ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya taraf kesihatan pergigian rakyat di negara ini dilihat masih belum sampai ke tahap yang memuaskan.

"Berdasarkan kajian Kesihatan Pergigian Orang Dewasa pada 2010, 98 peratus rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas memerlukan rawatan pergigian, 85 peratus orang dewasa mengalami kerosakan gigi dan 94 peratus pula berpenyakit gusi," katanya.

Beliau berkata pada kalangan warga tua berumur 65 tahun ke atas, empat daripada 10 warga tua telah kehilangan semua gigi.

Kerajaan pimpinan Barisan Nasional katanya telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk kos rawatan pergigian rakyat di negara ini.

"Kerajaan menanggung anggaran 95 peratus kos rawatan pergigian asas yang dibekalkan di klinik  pergigian kerajaan, contohnya pesakt hanya perlu membayar RM2 untuk satu tampalan gigi yang sebenarnya menelan kos RM31.

"Rakyat juga  hanya membelanjakan RM1 untuk mendapatkan khidmat cabutan satu batang gigi yang kos sebenarnya RM56, dan hanya membayar RM50 untuk gigi palsu yang sebenarnya menelan belanja RM946," katanya.

Berkenaan nisbah doktor gigi, kerajaan mensasarkan nisbah seorang doktor untuk 4,000 penduduk pada tahun 2015.

"Pada tahun 2010, nisbah doktor gigi ialah seorang doktor untuk 7,437 penduduk," katanya. - Bernama