BUKIT MERTAJAM - Semua agensi dibawah Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah (KKLW) diminta untuk kemukakan senarai kerosakan infrastruktur akibat kejadian banjir yang berlaku di negeri ini pada minggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat berkenaan termasuk daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) untuk penilaian sebelum menyalurkan bantuan yang diperlukan.

"Saya sedang mendapatkan senarai kerosakan infrastruktur dan premis milik KKLW sebagai contoh jalan-jalan kampung yang rosak, dewan serbaguna, balai raya, surau dan tabika di kawasan yang terjejas.

"Saya minta semua JKKKP dari setiap kampung senaraikan kerosakan dialami mereka dan serahkan ke pejabat Umno bahagian supaya maklumat itu dapat diselaraskan dan maklumat itu juga akan disalurkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk penilaian," katanya ketika ditemui media selepas membuat lawatan di Tabika Permatang Rawa di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mengulas mengenai lawatannya ke beberapa buah tabika di sini semalam, Ismail Sabri berkata, sebanyak 41 buah tabika di negeri ini terjejas akibat banjir yang berlaku pada Sabtu lalu.

Menurutnya, kebanyakan tabika yang terlibat mengalami kerosakan harta benda seperti perabot, barangan elektrik, bahan bacaan, dokumen dan peralatan pembelajaran.

"Walaupun ditenggelami banjir kita anggarkan jumlah kerugian yang dialami di kesemua tabika yang terlibat sebanyak RM165,000.

"Saya telah mengarahkan Pengarah Kemas di negeri ini untuk segerakan penggantian barang-barang pembelajaran agar anak-anak di sini dapat meneruskan pembelajaran mereka selepas ini," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama 1,645 sukarelawan daripada KKLW melakukan aktiviti gotong royong di 33 kawasan terjejas dengan banjir di seluruh negeri ini.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan seperti di Tabika Kampung Padang,Kepala Batas; Tabika Lahar Yooi,Tasek Gelugor; Tabika Permatang Rawa dan Tabika Taman Abidin, Jelutong.

Selain itu, kerja-kerja pembersihan dibuat turut dilakukan seperti mengecat semula bangunan, memperbaiki sistem pendawaian dan menggantikan perabot dan barangan elektrik yang rosak.

"Kita turut menyampaikan sebanyak 1,450 pek  bantuan seperti makanan, selimut dan tilam kepada penduduk yang terlibat selain turut membawa pelatih daripada GiatMara yang akan membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat dalam membaiki peralatan elektrik termasuklah kenderaan seperti motosikal.

"Kita berharap dengan bantuan yang diberikan ini akan meringankan beban mangsa banjir di negeri ini," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meraikan 60 kanak-kanak dalam program Khatan@KKLW semalam.
  • PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerima peruntukan bajet keseluruhan RM9.483 bilion dalam Bajet 2018 iaitu peningkatan sebanyak 6.66 peratus daripada peruntukan 2017, berjumlah RM8.891 bilion.
  • IPOH - Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yakin sasaran mewujudkan sebuah Risda Smallhorders Mart (RisSMart) di setiap kawasan parlimen menjelang 2020 dapat direalisasikan.
  • LENGGONG - Celcom Axiata Berhad bercadang memperluaskan lagi Program Tuisyen Rakyat @ KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) pada tahun depan.